Wednesday, September 10, 2014

Muhasabah Diri Melalui Amalan Sepanjang 24 Jam Melayari Ramadhan


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Ramadhan adalah  madrasah agung yang memberi peluang kita mempelajari banyak pekara daripadanya. Ramadhan merupakan titik tolak kepada perubahan diri seseorang ke arah yang lebih baik.
Dalam bulan Ramadan ini kita perlu merebut peluang di mana ibadat sunat yang dilakukan itu diberi ganjaran ibadat fardu. Manakala ibadat fardhu pula diberi ganjaran 70 kali ganda.
Cara terbaik untuk muhasabah diri dalam bulan yang mulia ini ialah dengan melihat bagaimana amalan sepanjang 24 jam kita melayari hariannya.
.
p/s:   Waktu yang dinyatakan di bawah berdasarkan waktu solat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sila sesuaikan dengan waktu solat di tempat/kawasan anda.
.
.

A)    1/3 AKHIR MALAM (MULAI  2.30 PAGI)

 .

1.  Qiamullail

Dalam waktu 1/3 akhir malam, iaitu antara jam 2.30 pagi hingga terbit fajar, adalah masa teristimewa dan turunnya Rahmat Allah ke bumi. Waktu ini amat sesuai untuk Qiamullail iaitu melakukan solat-solat sunat dan berzikir kepada Allah SWT.
Orang yang mengamalkan qiamullail akan diangkat darjat dan dihapuskan dosa2 mereka. Nabi SAW bersabda; “Hendaklah kamu bersolat malam. Sesungguhnya ia amalan orang yang soleh sebelum kamu, amalan yang mendekatkan kepada Tuhanmu, penghapus kesalahan dan pencegah dosa.”  (HR; Muslim)
Banyak keterangan tentang hadis-hadis keistimewaan 1/3 malam, ‘Rahmat Allah turun ke langit dunia’, pentafsiran tentang kalimah ‘turunnya’ Allah, kaifiyat berqiamullai, boleh pelbagaikan amalan ketika qiamullail, bukan setakat melakukan solat tahajud, tapi membaca al-Quran, dengan memahami isi kandungannya, berzikir dan beristighfar muhasabah diri serta menangis mengenangkan dosa-dosa.
Apa yang lebih penting dalam Islam ialah melakukan ibadat itu biar sedikit tetapi istiqamah yakni dibuat berterusan dan falsafah di sebalik qiamullail terkandung sifat ikhlas di mana kita beribadat seorang diri pada waktu orang lain nyenyak tidur di tilam yang empuk.
.
.

2.   Solat-solat sunat yang harus didirikan ialah:

.
a)     Solat Sunat Tahajjud
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. (Al-Isra'; 79)
Dari Ubadah bin Shamit RA dari Rasulullah SAW : “Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengucap “Tiada Tuhan selain Allah. Tidak ada sekutu baginya. Dia Pemilik Kerajaan dan segala puji hanya untukNya. Dia Maha Kuasa. Segala pujian hanya untuk Allah. Segala Keagungan hanya untuk Allah. Tiada tuhan selain Allah. Allah Maha Besar. Tiada daya dan kuasa kecuali dengan izin Allah.” Kemudian mengatakan “”Ya Allah Ampunkan Kami” atau berdoa kepada Allah, maka doanya akan dikabulkan dan apabila dia berwudhuk dan mengerjakan solat malam (tahajjud), maka solatnya akan diterima.”  (Hadis riwayat Bukhari).
.
Di antara Fadhilat Lainnya  :
1. Mendapat pengawasan Allah dan menampakkan kesan ketaatan di wajahnya.
2. Dikasihi oleh para ahli ibadah dan orang mukmin.
3. Percakapannya menjadi hikmah dan bijaksana.
4. Dimudahkan hisab ke atasnya.
5. Mendapat catatan amal dari tangan kanan.
6. Doanya akan dikabulkan oleh Allah SWT.
.
.
b)     Solat Sunat Taubat
Bertujuan untuk bertaubat dengan sebenar-benar taubat kepada Allah SWT menyesal dan tidak akan mengulangi dosa yang disesalkan itu lagi.
Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : “ Tuhan Kami, Pemberi Berkat, Yang Maha Kuasa, turun setiap  malam hingga ke langit yang paling dekat dengan kita (langit dunia) pada akhir 1/3 malam dan Dia berfirman ; Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku Kabulkan. Sesiapa yang meminta sesuatu dariKu, akan Kuberikan. Sesiapa yang memohon kemapunan kepadaKu, akan Aku ampunkan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.)
.
.
c)     Solat Sunat Istikharah
Solat ini dilakukan tidak terhad kepada urusan perjodohan sahaja tetapi dalam skop yang lebih luas adalah untuk mendapatkan petunjuk, terutama bila seseorang dalam memutuskan tindakan yang terbaik dan kelancaran urusan seharian.
.
.
d)     Solat Sunat Tasbih
Rasulullah SAW pernah bersabda, “Kalau boleh didirikan setiap malam, kalau tidak boleh, seminggu sekali, kalau tidak boleh sebulan sekali, kalau tidak pun setahun sekali, paling2 tidak sekali seumur hidup.” Allah menjanjikan keampunan dosa yang lalu dan akan datang untuk mereka yang mengerjakan solat ini.
.
.
e)     Solat Sunat Hajat
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai hajat dari Allah SWT atau daripada seorang manusia, maka hendaklah ia berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian dia bersolat dua rakaat.”    (Riwayat At-Tarmizi)
Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanad shahih dari Abu Dardak bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa berwudhuk dan menyempurnakannya, kemudian bersembahyang dua rakaat dengan sempurna, maka dia diberi Allah apa saja yang diminta baik cepat ataupun lambat.”
.
.
f)     Solat Sunat Witir
Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan Solat Witir walaupun sekali. Sabda Rasullulah SAW dari Abu Hurairah:  “Sesiapa yang tidak berwitir, maka bukanlah dia termasuk golongan kami.” (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud)
Abu Hurairah pernah berkata: “Rasulullah SAW berwasiat kepadaku tiga perkara agar jangan ditinggalkan puasa tiga hari tiap bulan, dua rakaat dhuha dan witir sebelum tidur.”
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT. menganugerahkan kepada kamu solat yang lebih baik daripada bersedekah beberapa ekor unta yang sempurna dan baik iaitu Solat Witir.”   (Hadis Riwayat al-Turmudzi dan al-Hakim r.a.)
Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat ini tanpa keuzuran dan umat Islam amat dituntut melakukannya.
Bagaimanapun, paling minimum qiamullail ialah menunaikan solat witir satu rakaat.
.
.

B)    1/3 AKHIR MALAM   (5.30 PAGI)

.

1.  Bersahur

Rasulullah SAW bersabda;“Seelok-elok sahur seorang mukmin itu ialah dengan buah tamar.” – (Hadis riwayat Ibn Hibban).
Anas bin Malik r.a. berkata telah bersabda Rasulullah SAW:  “Sahurlah kamu sekelian, sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya.”  (HR. Muslim).
“Semua sahur adalah berkat, maka janganlah kamu meninggalkannya, walaupun di antara kamu hanya meneguk air. Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat atas orang-orang yang melakukan sahur.” (HR. Ahmad, dan al-Mundziri)
Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang dimaksudkan dengan berkat itu ialah ganjaran pahala dari Allah. Sahur akan menguatkan lagi semangat dalam berpuasa serta dapat membantu seseorang itu untuk melakukan apa juga bentuk ibadat sepanjang ibadat puasa dilaksanakan.
Nabi SAW. bersabda: “Jadikanlah makan diwaktu sahur sebagai penolong melakukan puasa diwaktu siang. Dan istirahat di tengah hari sebagai penolong untuk melakukan shalat malam kamu.”
.
.

2.  Membaca Al Quran

Sementara menanti masuk Subuh, membaca al-Quran kerana Rasulullah SAW pernah bersabda, “Membaca al-Quran adalah ibadat sunat yang paling afdal.”
Anas meriwayatkan daripada Zaid bin Thabit: “Kami telah bersahur bersama-sama dengan Nabi, kemudian Baginda bangun untuk mengerjakan solat. Aku (Anas) bertanya, berapa lama tempoh antara azan dengan sahur itu? Zaid menjawab sekadar bacaan 50 ayat al-Quran.”
.
.

C)   PENGHUJUNG MALAM (WAKTU IMSAK – 5.40 PAGI)

 .

1.  Bersugi

Berhenti makan berat 10 minit sebelum Subuh (Imsak) supaya dapat bersugi membersihkan mulut dan sempat bersedia dengan tenang untuk ke masjid bersolat jamaah.
Walaubagaimana pun sekiranya seseorang itu terlewat bangun untuk makan sahur dipenghujung waktu, masih lagi diharuskan makan dengan kadar segera.
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang dari kamu mendengar azan subuh padahal bekas minuman masih di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga dia menyelesaikan meminumnya”. (HR. Abu Daud dan Ibnu Majah).
.

2. Minum Sedikit Air

Beberapa minit sebelum Subuh minumlah segelas air masak/zam-zam bagi melegakan kerongkong selepas bersugi dan membersihkan mulut dari sisa-sisa makanan yang masih ada.
.
.

D)   SUBUH / FAJAR (AZAN SUBUH – 5.50 PAGI)


1.  Solat Sunat Rawatib Sebelum Subuh (Solat Sunat Fajar)
Sabda Rasulullah SAW; “Solat dua rakaat (sebelum) Solat Subuh itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya.”  (HR; Muslim)
Sayyidah ‘Aisyah dalam hadis muttafaq ‘alaih menyatakan: “Tidak ada nafilah, solat sunnah, yang sangat dijaga pelaksanaannya oleh Nabi Saw. melebihi dua rakaat fajar.” (HR. Bukhari dan Muslim)
.

2.  Solat Subuh Berjemaah

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang keluar ke masjid pada waktu pagi atau petang, Allah SWT akan sediakan kepadanya di syurga tempat berteduh pada setiap kali ia keluar.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
 .

3.  Membaca Al Quran

Membaca al-Quran kerana Rasulullah SAW pernah bersabda, “Membaca al-Quran adalah ibadat sunat yang paling afdal.”
Bersabda Rasulullah SAW, “Sesiapa membaca satu huruf kitab Allah, memperoleh satu kebajikan. Saya tidak mengatakan Alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (HR; al-Tirmizi)
.

4.  Berselawat

Kelebihan atau keistimewaan selawat antara lain dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya.”  (Surah Al-Ahzab: 56).
Banyak kelebihan lain kepada orang yang berselawat kepada Rasulullah SAW, Allah akan menunaikan segala hajatnya, menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjatnya dan memperolehi syafaat Rasulullah SAW pada hari kiamat.
”Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa pembersih dosa) bagimu.” (Riwayat Ibnu Murdawaih).
“Sesiapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan syurga.” (Riwayat Abus Syaikh dari Anas).
”Orang yang bakhil ialah yang bila disebut namaku kepadanya, lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku.” (Riwayat Tirmizi).
.
.

E)    SYURUK – (7.12 PAGI)


1.      Membaca  Al-Ma’thurat

Sesiapa yang membaca di waktu pagi, akan dipelihara oleh Allah hingga ke waktu petang. Dan sesiapa yang membacanya di waktu petang akan dipelihara hingga ke waktu pagi.
       .

2.  Berwirid Sehingga Terbit Matahari

Kita juga boleh bertasbih, bertahmid, beristighfar, berselawat dan berdoa.
Sabda Rasulullah SAW.: “Para malaikat berselawat bagi setiap orang yang selesai solat dan masih ia tetap di tempat solatnya itu. Malaikat pun berdoa: “Ya Allah, berikanlah kepadanya rahmat dan keampunan-Mu.…” begitulah keadaannya selama mana orang itu tidak batal wuduknya atau  ia keluar dari masjid.”    Hadis Riwayat Muslim.
.
.

F)    ISYRAQ – (7.24 PAGI)


1.      Membaca Doa Solat Sunat Isyraq


Sebelum mendirikan solat Isyraq bacalah doa berikut:

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِىْ اَقَالَنَا يَوْمَنَا هَذَا وَلَمْ يُهْلِكْنَا بِذُنُوْبِنَا.

Segala pujian bagi Allah yang telah memberikan kami hari ini dan tidak memusnahkan kami kerana dosa-dosa yang dilakukan.
 .
2.     Solat Sunat Isyraq
Solat Sunat Isyraq dua rakaat ini dikerjakan selepas waktu Syuruk iaitu setelah matahari naik anggaran setengah galah (4 hasta atau 1.5 meter), lebih tepatnya kira-kira 12 minit setelah terbit matahari.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah  sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyraq). Maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna.” (Hadis Riwayat, At-Tirmidzi r.a.)
.
.

G)   PAGI – (7.45 PAGI)

Mula keluar bekerja/belajar…

1.      Itqan atau Tekun Berkerja/Belajar

Setiap pekerjaan yang baik adalah suatu ibadah. Walaubagaimana pun sewaktu belajar / berkerja hendaklah diniatkan sebagai ibadah dan berkhidmatlah dengan sebaik atau seikhlas mungkin.
 .

2.      Solat Sunat Dhuha – (10.00 Pagi)


Waktu rehat pagi boleh diguna melakukan solat sunat ini…
Rasulullah SAW bersabda lagi, “Solat Dhuha itu mendatangkan rezeki dan menolak kefakiran (kemiskinan), dan tidak ada yang akan memelihara solat Dhuha kecuali hanya orang-orang yang bertaubat.”
Daripada Abu Dzar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hendaklah masing-masing di antara kamu setiap pagi bersedekah untuk setiap ruas tulang badanmu. Maka tiap kali bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, dan setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh kebaikan adalah sedekah, mencegah keburukan juga adalah sedekah. Dan sebagai ganti daripada itu semua, cukuplah mengamalkan dua rakaat solat Dhuha.”   (HR Ahmad, Muslim dan Abu Daud) 
.

3.      Membaca Al Quran

Tips Khatam Membaca 30 Juzuk Al Quran:
Baca sedikit tetapi selalu. Satu juzuk selalunya mengandungi 20 mukasurat; Jadi lakukanlah pembacaan seperti berikut:
  1. Bacalah 4 mukasurat selepas Subuh (20 minit)
  2. Bacalah 4 mukasurat selepas Zuhur (20 minit)
  3. Bacalah 4 mukasurat selepas Asar  (20 minit)
  4. Bacalah 2 mukasurat selepas Isyak (10 minit)
  5. Bacalah 6 mukasurat selepas Tarawih (30 minit)
.
.

H)   TENGAHARI – (1.00 T.HARI)

Waktu rehat tengahari boleh diguna melakukan pelbagai ibadah termasuk qailullah, membaca Al Quran, tazkirah dan solat…

1.      Qailullah

Qailullah ialah tidur sebentar sebelum masuk waktu solat Zuhur; dengan kadar masanya antara 10 hingga 30 minit. Tidur ini disunatkan sebagai memudahkan untuk bangun menunaikan solat sunat di tengah malam. Sekiranya  tidur tanpa berniat untuk bangun pada tengah malam maka tidaklah mendapat sebarang pahala pada tidur tersebut.
Rasulullah SAW bersabda: “Memakan sahur itu boleh memberi kekuatan untuk berpuasa pada siang hari dan qailullah (tidur sekejap) pada siang hari (sebelum Zuhur) boleh memberi kekuatan untuk qiamullail.”    Hadis riwayat Ibnu Abbas.
Khalifah Umar  bin Khattab pernah mengingatkan agar tidak terlalu banyak tidur;  “Sekiranya kamu tidur siang hari, maka akan melalaikan hak masyarakat; jika kamu tidur malam, kamu melalaikan hak Allah.” Oleh kerana itu haruslah mengimbangi dan menggunakan waktu tidur siang yang hanya seketika (bukan sepanjang hari) walaupun pada musim panas atau bulan Ramadan.
.

2.     Solat Sunat Rawatib Sebelum Zuhur (1.21 Petang)

Dari Ibnu Umar ra berkata, “Aku menjaga 10 rakaat dari nabi SAW: 2 rakaat sebelum solat Zuhur, 2 rakaat selepasnya, 2 rakaat selepas solat Maghrib, 2 rakaat selepas solat Isyak dan 2 rakaat sebelum solat Subuh.”  (HR Muttafaqun ‘alaihi)
Daripada Aisyah r.a.; “Bahawa jika Rasulullah SAW tertinggal solat empat rakaat sebelum Zuhur, maka Baginda SAW melakukannya selepas Zuhur (waktu Asar).” (Hadis riwayat Turmizi r.a.)
.

3.     Solat Fardu Zuhur

Sabda Rasullullah SAW,
“1.  Solat Zuhur jika tergelincir matahari, maka bertasbihlah segala sesuatu kepada Tuhannya.  

2.  
Solat Asar itu ialah saat ketika Nabi Adam a.s. memakan buah khuldi. 

3.  
Solat Maghrib itu adalah saat Allah menerima  taubat Nabi Adam a.s. Maka setiap mukmin yang bersolat Maghrib dengan ikhlas dan kemudian  dia  berdoa meminta sesuatu  pada Allah maka pasti Allah akan mengkabulkan permintaannya.
   
4.
Solat Isyak itu ialah solat yang dikerjakan oleh para Rasul  sebelumku.   

5.
Solat Subuh adalah sebelum terbit matahari.Ini kerana apabila  matahari  terbit, terbitnya di antara dua  tanduk syaitan dan di situ sujudnya setiap orang kafir.”
Daripada kitab Durratun Nasihin, Rasulullah SAW. bersabda: “Sesiapa solat lima waktu berjemaah, maka baginya lima perkara (hadiah): Pertama dia tidak ditimpa kefakiran di dunia. Kedua, Allah SWT membebaskannya daripada seksa kubur. Ketiga, dia akan menerima kitab amal dengan tangan kanan. Keempat, dia akan melalui jambatan (siratulmustakim) seperti kilat menyambar dan kelima, Allah SWT. memasukkannya ke dalam syurga tanpa hisab dan seksa.”
.

4. Solat Sunat Rawatib Selepas Zuhur

Daripada Ummu Habibah yakni Ramlah binti Abu Sufyan radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:“Tiada seorang hamba pun yang Muslim yang bersolat kerana Allah Ta’ala setiap hari dua belas rakaat sebagai solat sunnah yang bukan diwajibkan, melainkan Allah akan mendirikan untuknya sebuah rumah dalam syurga, atau: melainkan untuknya akan didirikanlah sebuah rumah dalam syurga.”  (Riwayat Muslim)
.
.

I)      PETANG – (4.39 PETANG)

.

1.     Solat Asar

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mendengar azan tetapi ia tidak hadir, maka tidaklah sempurna solatnya kecuali disebabkan keuzuran.”  (Riwayat Ibn Majah).
.

2.     Membaca Al-Ma’thurat

Allah menyempurnakan nikmatnya ke atas orang yang membacanya, termasuk mencukupkannya apa yang sangat diperlukan dari urusan dunia dan akhirat serta mendapat keselamatan dari segala sesuatu.
 .

3.     Menyediakan Bahan Berbuka dan Bersahur

 Rasulullah SAW  sering menggalakkan umat Islam menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa meskipun dengan hanya beberapa biji tamar atau segelas air.
Sabda Baginda SAW :  “Sesiapa yang menjamu orang yang puasa akan mendapatkan pahala seperti pahalanya orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun.” (HR. Ahmad, Tirmidzi, bn Mâjah, Ibn Hibban dan dishahih kan oleh Imam Tirmidzi)
.
.

J)     MAGHRIB – (7.28 MALAM)


1.     Berbuka Puasa dengan Buah Kurma dan Segelas Air Terlebih Dahulu

Rasulullah SAW mengisi perut dengan sedikit makanan seperti kurma dan air saja, setelah itu baru Baginda SAW melaksanakan solat Maghrib. Tetapi apabila makan malam sudah dihidangkan, maka terus dimakan, jangan solat dahulu.
Disunatkan berbuka dengan tiga butir kurma dan segelas air. Anas bin Malik berkata: “Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab (buah kurma ranum). Jika tiada rutab, Baginda akan berbuka dengan tamar (kurma kering) dan jika tiada tamar, Baginda minum beberapa teguk air.”  (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Sekiranya tiada kurma, bolehlah digantikan dengan manisan, buah-buahan atau makanan yang belum terkena api.
.

2.     Memperbanyakkan Doa

Disarankan berdoa apa saja yang dihajati sewaktu berbuka kerana ia antara waktu yang mustajab (makbul) berdoa. Rasulullah SAW. bersabda: “Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka Allah dan malaikatnya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke atas mereka yang bersahur.” – (Hadis riwayat At-Tabrani dan Ibn Umar).
.

3.     Solat Fardhu Maghrib Berjemaah

Allah mengurniakan ganjaran pahala 27 kali ganda daripada solat bersendirian kepada orang yang mendirikan solat berjemaah. Daripada Ibnu Umar r.a. katanya; Rasulullah SAW. bersabda: “Solat jemaah itu lebih utama pahalanya daripada solat sendirian sebanyak 27 darjat.”  (Riwayat Bukhari dan Muslim r.a.)
Rasulullah SAW. bersabda: “Solat seorang lelaki dengan berjemaah, lebih baik daripada solat bersendirian di rumah selama empat puluh tahun.”
.

4.      Solat Sunat Rawatib Selepas Maghrib

Dari Ibnu Umar ra berkata, “Aku menjaga 10 rakaat dari nabi SAW: 2 rakaat sebelum solat Zohur, 2 rakaat selepasnya, 2 rakaat selepas solat Maghrib, 2 rakaat selepas solat Isyak dan 2 rakaat sebelum solat Subuh.”  (HR Muttafaqun ‘alaihi)
.
.

K)   1/3 AWAL MALAM – (8.40 MALAM)


1.     Solat Fardu Isyak Berjemaah

Sabda Rasulullah SAW: “Mahukah kamu, aku tunjukkan perbuatan yang jika kamu lakukan, nescaya Allah akan menghapuskan segala kesalahan dan mengangkat kamu ke darjat yang tinggi? Iaitu melengkapkan wuduk meskipun secara terpaksa (kerana sejuk atau panas), memperbanyakkan langkah ke masjid dan menunggu satu solat sesudah solat yang lain. Itulah pendinding kamu..” (Hadis sahih)
Sabda Nabi SAW.:“Sesiapa solat Isyak berjemaah, maka seolah-olah ia solat separuh malam dan sesiapa yang menghadiri solat Isyak dan Subuh berjemaah, maka seolah-olah ia telah beribadat sepanjang malam.” (Riwayat Muslim)
.

2.      Solat Sunat Rawatib Selepas Isyak

Daripada Ummu Habibah yakni Ramlah binti Abu Sufyan radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:“Tiada seorang hamba pun yang Muslim yang bersolat kerana Allah Ta’ala setiap hari dua belas rakaat sebagai solat sunnah yang bukan diwajibkan, melainkan Allah akan mendirikan untuknya sebuah rumah dalam syurga, atau: melainkan untuknya akan didirikanlah sebuah rumah dalam syurga.”  (Riwayat Muslim)
.

3.     Tarawih dan Witir Berjemaah

Dalam bulan Ramadhan ini, menunaikan solat tarawih sudah dikira sebagai qiamullail. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bangun (qiamullail) pada bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan akan diampun dosanya yang terdahulu.”  (HR; Bukhari dan Muslim).
Bagi makmum yang mengerjakan solat Tarawih disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya itu sehinggalah selesai samada sebanyak 20 rakaat mahupun 8 rakaat. Sabda Rasulullah SAW: “Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiyam semalaman”  (HR; an-Nasaei).
.

4.     Tadarus Al Quran dan Tadabbur Maknanya.

Disebutkan dalam hadis riwayat Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak berkumpul satu kaum di suatu rumah dari rumah Allah (masjid) yang membaca al-Quran dan saling mempelajarinya antara mereka melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan, diselubungi rahmat, dikelilingi malaikat rahmat dan Allah mengingati mereka pada siapa di sisi-Nya.” (Hadis riwayat Muslim)
Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah oleh kamu al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) itu datang pada hari kiamat menjadi syafaat kepada pembacanya.” (Hadis riwayat Abu Umamah dan Muslim)
.
.

L)    2/3 MALAM  – (11.00 MALAM)

.
  1. 1.      Berdoa dan Berniat

Berdoa sebelum tidur sambil berniat untuk bangun awal di samping berniat puasa untuk hari esok.

Doa Sebelum Tidur

اَللَّهُمَّ أَنْتَ خَلَقْتَ نَفْسِىْ وَأَنْتَ تَتَوَفَّاهَا. لَكَ مَمَا تُهَا وَمَحْيَاهَا، إِنْ أَحْيَيْتَهَا فَاحْفَظْهَا، وَإِنْ أَمَتَّهَا فَاغْفِرْلَهَا. اَللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ.

Ya Allah! Dikaulah yang menciptakan diriku dan Dikaulah juga yang mematikannya. Untuk-Mulah kematian dan kehidupan diriku. Oleh kerana itu, apabila Dikau menghidupkannya, maka Dikau jagakanlah ia dan apabila Dikau mematikannya, Dikau ampunilah ia. Ya Allah daku memohon kesejahteraan dari-Mu.
.
Ketika mahu melelapkan mata, Baginda SAW meletakkan tangan kanannya di bawah pipi kanannya dan sekali lagi berdoa:

بِاسْمِكَ اَللَّهُمَّ أََحْيَا وَأَمُوتُ. اَللَّهُمَّ قِنِىْ عَذَابِكَ يَوْمَ تُبْعَثُ عِبَادَكَ.

Dengan nama-Mu ya Allah, daku hidup dan daku mati.  Ya Allah! Pelihara-lah daku daripada azab-Mu pada hari Dikau bangkitkan semua hamba-Mu.
 .

2.  Tidur

Tidur berpatutan adalah ibadah. Ulama terkemuka berkata, kehidupan manusia sehari-hari dibahagikan kepada tiga iaitu:
  1. Lapan jam untuk taat dan beribadat kepada Allah,
  2. Lapan jam untuk bekerja dan mencari nafkah,
  3. Lapan jam lagi untuk beristirehat dan tidur.
Waktu beristirehat ini termasuklah ‘qualiti time’ bersama ahli keluarga dan masa tidur yang sebenar-benarnya yang diperlukan oleh manusia hanyalah empat jam sahaja. Sebagaimana Firman Allah SWT: “Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan solat Tahajud dan amal-amal soleh); mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami berikan kepada mereka.”   (Surah As Sajdah: 16)
Kajian sosiologi mendapati masyarakat dan golongan yang sedikit tidur iaitu antara 3 hingga 5 jam lebih panjang umur mereka.
.
.

M)  WAKTU LAPANG / SELINGAN


1.     Berzikir Dan Beristighafar

Hendaklah kita berusaha mencari lailatul qadar kerana pahala beribadat pada malam ini adalah menyamai 1,000 bulan atau 84 tahun. (al-Qadr: 3)
Ini adalah bonus yang Allah bagi kepada umat Nabi Muhammad yang rata-rata umur mereka ialah sekitar 60 ke 70 tahun berbanding umat terdahulu yang usia mereka mencecah beribu tahun.
Malam ini pula dikatakan berlaku pada malam ganjil 10 terakhir Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Carilah lailatul qadar pada malam ganjil 10 malam terakhir.” (HR;  Bukhari)
 .

2.     Menghadiri Majlis Ilmu/Membaca Buku-buku Ilmiah

Bagi mereka yang berkesempatan, boleh juga menghadiri majlis ilmu, mengulangkaji kitab-kitab agama, sirah nabi dan sebagainya. Bagaimanapun, kita boleh juga membaca buku-buku akademik contohnya berkaitan sains dan teknologi. Yang penting ia memberi manfaat kepada diri dan masyarakat. Membaca buku-buku begini pun turut diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.
Tuntutan menghadiri majlis ilmu ini sejajar sunnah Rasulullah untuk amalan umatnya. Rasulullah pernah bersabda bermaksud: “Jadilah kamu orang yang berilmu atau orang yang belajar dan orang yang mendengar. Jangan kamu menjadi golongan yang keempat (bukan daripada tiga golongan), maka hendaklah kamu tinggalkan.”
.

3.     Beriktikaf di Masjid atau Surau

Iktikaf adalah amalan baik yang amat disunatkan kepada umat Islam melakukannya. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan. Maksud iktikaf ialah mendampingi masjid, bertujuan untuk membersihkan hati dengan mengingati Allah dan taqarrub (berdamping) dengan Allah Yang Maha Pencipta dengan hati yang ikhlas.
Allah amat menyukai hamba-hamba-Nya yang sentiasa berusaha bertaqarrub kepada-Nya. Ia boleh dilakukan setiap kali berada di masjid iaitu semasa menunggu waktu solat Isyak misalnya, kita berniat beriktikaf. Dengan niat begini, kita sudah pun beroleh pahala.
.

4.     Bersedekah

Lebihkan bersifat pemurah dan dermawan iaitu banyak memberi, bersedekah dan menolong. Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan. Bersedekah bukan hanya memberi wang, tetapi termasuklah membantu kariah surau/masjid menyediakan dan memasak makanan berbuka dan sahur atau mengajak orang lain berbuka puasa di rumah kita terutama kepada golongan fakir miskin.
Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.”
Pada bulan Ramadhan ini, elok dilipat-gandakan amalan sedekah tanpa berkira-kira kerana sedekah merupakan amalan yang berterusan selagi harta itu dimanfaatkan. Janganlah kita sendiri kita campakkan diri kita ke lembah kebinasaan kerana kebakhilan kita sendiri.
.
.

Penutup

Ramadhan bukanlah bulan biasa. Ibadah umum seperti bekerja mencari rezeki dan belajar memang tidak boleh dihentikan namun biarlah kita cuba tambahkan ibadah khusus sedaya mungkin sebab Ramadhan ialah bulan ibadah, barakah dan makfirah.
Ramadhan dikenali juga sebagai bulan prestasi, dimana Allah SWT memberikan kesempatan kepada orang-orang mu’min untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah SWT.
Alangkah ruginya andai kita langsung tidak mencuba untuk merebut peluang keemasan ini umpama sudah terhidang di depan mata tetapi masih enggan memanfaatkannya dan sudah diberi modal tetapi tidak mahu menggunakannya!
Pendek kata, rebutlah peluang Ramadhan yang ada kerana belum tentu kita akan bertemunya lagi pada masa akan datang. Pada waktu negara dalam keadaan yang masih lagi aman, manfaatkan keamanan ini dengan menambahkan amalan kita.
Moga-moga kita dapat mengecapi nikmat Lailatul Qadar dan Rahmat Allah Yang Maha Khaliq pada Ramadhan tahun ini . Amin!
.

والسلام

By
Shafiqolbu
Ramadhan 1432H

Wednesday, July 9, 2014

11 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Memulakan Bisnes Sendiri

11 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Memulakan Bisnes Sendiri

Oleh Adly Mukhtar, Pada 17 December, 2013
Setiap usahawan mempunyai pengalaman tersendiri dalam menelusuri dunia bisnes via kross_edd Flickr
Setiap usahawan mempunyai pengalaman bisnes yang tersendiri via kross_edd Flickr
Jika anda membaca mengenai sejarah ringkas perjalanan saya sebagai seorang usahawan pada halaman ‘tentang’ blog ini, maka anda mengetahui banyak perkara yang telah saya tempuhi untuk berada dimana saya berada hari ini.
Kesilapan dan kerugian adalah perkara biasa di dalam dunia keusahawanan. Sebagai orang yang belajar ilmu perniagaan secara tidak formal, saya belajar mengenai dunia perniagaan dengan cara yang amat sukar. Saya telah melakukan pelabagai kesilapan yang mana kadang-kadang terpaksa memperjudikan nilai persahabatan, kekeluargaan dan pelbagai perkara yang mahal nilainya.
Ketika itulah mula terdetik di dalam hati, “kalaulah aku tahu benda ni akan jadi macam ni…“. Tetapi semuanya telah terlambat, apa yang saya perolehi adalah satu pengalaman yang mahal harganya sebagai tauladan dan sempadan untuk masa akan datang.
Jadi di dalam entri ini saya ingin kongsikan 11 perkara penting berdasarkan pengalaman yang telah saya lalui agar kita sama-sama dapat belajar khususnya kepada mereka yang baru ingin memulakan perniagaan sendiri.

#1 – Tindakan Lebih Penting Dari Ilmu Perniagaan!

Jika anda membaca kisah para usahawan yang berjaya, majoriti daripada mereka terdiri daripada mereka yang suka bertindak. Apabila mereka mempelajari sesuatu ilmu baru, mereka terus mempraktikkan ilmu tersebut. Itulah yang membezakan kenapa mereka berjaya dan kenapa sesetengah yang lain masih lagi ditakuk lama.
Berapa banyak dalam masyarakat kita hari ini mempunyai kesedaran untuk memulakan perniagaan sendiri. Telah hadir pelbagai jenis seminar perniagaan, telah membaca pelbagai jenis buku berkaitan dunia bisnes, telah menonton pelbagai rancangan bisnes tetapi masih tidak mengambil sebarang tindakan.
Tindakan itu kuasa!
Azizi Ali, Jutawan Hartanah
Akhirnya, bolehkah ilmu-ilmu tersebut menjadikan anda seorang usahawan berjaya tanpa sebarang tindakan? Ilmu itu penting, tetapi tindakan mempraktikkan apa yang telah diketahui itu lebih penting.

#2 – Jangan Hilang Fokus Terhadap Apa Yang Diusahakan

Setiap perniagaan yang ingin berkembang bukan sahaja perlukan modal kewangan sahaja tetapi ia juga perlukan modal tenaga, idea, kreativiti, masa dan sebagainya. Oleh itu, ramai usahawan berjaya menyarankan agar kita tidak mengerjakan beberapa perniagaan serentak di dalam satu-satu masa kerana kita mempunyai limitasi terhadap perkara-perkara tersebut.
Ketika kita asyik mengusahakan sesuatu perniagaan, maka tidak semena-mena banyak sekali peluang perniagaan lain yang nampak meyakinkan dan menguntungkan muncul. Sebelum ini tidak pernah pula kita melihat peluang keemasan sebegini!
Kita jangan terpengaruh dengan peluang yang cuba mengalih fokus kita via Google Images.
Kita jangan terpengaruh dengan peluang yang cuba mengalih fokus kita via Google Images.
Sebenarnya itu salah satu cabaran dan dugaan terhadap usahawan baru seperti kita. Banyak peluang-peluang sebegini cuba mengalihkan fokus kita dalam mengerjakan perniagaan utama kita. Jadi abaikan sahaja peluang tersebut.
Fokus kepada perniagaan kita sekarang dan sentiasa katakan kepada diri sendiri bahawa perniagaan yang kita sedang usahakan sekarang adalah yang terbaik.
Saya teringat pesanan Dato Syed Zainal di Konvensyen Usahawan Muslim 2013.
Saudara, saya telah lihat ramai peniaga Melayu gagal kerana hilang fokus. Apabila mereka berjaya menjual kuih pau dan menjadi jutawan mungkin, maka mereka merasa diri sangat hebat. Akulah hebat, akulah jutawan!
Maka mereka beranggapan, mudah untuk mereka berjaya di dalam perniagaan lain. Maka mereka masuk buka pula perniagaan perabot. Selepas itu, mereka gagal kerana demografi dan ilmu bisnes sesuatu perniagaan itu tidak sama.
Akhirnya, perniagaan kuih pau entah ke mana, perniagaan perabot entah ke mana.
Dato Syed Zainal, Mantan CEO Proton
Fokus kepada perniagaan yang kita usahakan sehingga benar-benar matang dan stabil sebelum membuat keputusan untuk menceburi bidang perniagaan lain. Jangan jadi seperti pepatah Melayu, “yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran“.

#3 – Ubah Mindset Mengenai Kejayaan Perniagaan

Saya mula menjalankan perniagaan pada usia 16 tahun, jadi erti kejayaan dari sudut pandangan saya tersangatlah naif. Pada mulanya, saya berpendapat seseorang itu dikategorikan berjaya di dalam bisnes apabila beliau dapat memandu kereta mewah, memiliki rumah yang besar, memakai pakaian berjenama mahal dan pelbagai simbol kejayaan palsu lain.
Salah satu kesilapan yang banyak dilakukan oleh orang-orang yang baru menceburi dunia bisnes adalah tindakan membeli benda-benda yang berfungsi sebagai bukti palsu kejayaan.
Tingkah laku membeli simbol-simbol duit dilakukan oleh individu yang tidak memiliki banyak duit. Motif mereka adalah mahu menunjukkan mereka kononnya mempunyai banyak duit, lalu mereka membeli benda-benda yang mereka tidak mampu memilikinya.
Puan Ainon Mohd, Chairman Kumpulan PTS
Sehinggalah saya mula bertemu sekelompok usahawan yang mempunyai perniagaan bernilai jutaan malahan puluhan juta ringgit tetapi tidak memiliki sebarang simbol kejayaan seperti yang difahami sebelum ini. Mereka hanya memandu kereta biasa dan memakai pakaian jenama biasa.
Mereka berpendapat, kejayaan sebenar sesuatu perniagaan diukur berdasarkan berapakah jualan dan keuntungan tahunan syarikat, berapakah jumlah pekerja yang ada, berapa nilai aset syarikat dan sebagainya.
Puan Ainon Mohd, pengasas Kumpulan PTS bersama suami, pasangan jutawan yang cukup sederhana via Ainon Mohd Facebook.
Pasangan jutawan yang sederhana, pengasas Kumpulan PTS via Ainon Mohd Facebook.
Barulah persepsi saya terhadap kejayaan lebih meluas. Sangat bahaya apabila seseorang usahawan memberi tafsiran yang salah dan sempit terhadap erti kejayaan di dalam bisnes. Ia akan membuatkan kita cenderung berusaha ke arah yang salah.
Berapa ramai dari kalangan usahawan Melayu yang menggunakan duit keuntungan perniagaan untuk membeli kereta mewah untuk buktikan kepada orang sekeliling bahawa  mereka telah berjaya, sedangkan perniagaan mereka baru hendak meningkat naik.
Duit tersebut sepatutnya digunakan untuk perkara yang lebih penting seperti membesarkan perniagaan dan syarikat. Ini adalah akibat dan kesan memahami definisi kejayaan yang salah.
Dalam kes yang lainya, saya masih teringat seorang sahabat berlumba-lumba membuka beberapa buah syarikat dan anak syarikat kerana bagi beliau erti kejayaan itu berada pada berapa bilangan syarikat. Beliau sangat gah apabila berbicara dengan menceritakan beliau memiliki berbelas-belas buah syarikat. Hakikatnya sebahagian besar syarikat beliau tidak aktif pun!

#4 – Mengurus Kewangan Syarikat Dengan Penuh Disiplin

Kita seringkali mendengar bahawa kegagalan perniagaan orang Melayu disebabkan mereka gagal menguruskan kewangan dengan baik. Memang benar, perniagaan saya sendiri pada awalnya gagal bukan kerana produk tidak bagus atau jualan yang merosot tetapi oleh kerana saya mengabaikan pengurusan kewangan syarikat.
Entah mengapa, pengurusan kewangan seolah-olah sesuatu yang tidak penting di dalam masyarakat Melayu. Kita tidak pernah mencatat berapakah perbelanjaan harian kita, dari manakah pendapatan kita dan kemanakah duit kita dibelanjakan. Jadi apabila sang Melayu ini mula berniaga, maka jauh sekali dia akan praktikan pengurusan kewangan terhadap perniagaanya!
Usahawan perlu melatih diri untuk mula mengurus kewangan dengan baik via Google Images.
Usahawan perlu melatih diri untuk mula mengurus kewangan dengan baik via Google Images.
Saya mula memandang serius mengenai pengurusan kewangan apabila saya menubuhkan syarikat Sdn. Bhd. Pada mulanya semuanya dilakukan kerana terpaksa disebabkan syarikat Sdn. Bhd. wajib menghantar laporan audit setiap tahun. Pun begitu bagi seorang Melayu, saya tidak nampak rasional kepentingan pengurusan kewangan yang baik ini terhadap pembangunan syarikat.
Lama-kelamaan barulah saya sedar bahawa kebocoran dan ketirisan wang syarikat dapat diatasi apabila kita mencatat setiap sen duit yang masuk dan keluar. Daripada maklumat duit masuk dan keluar tersebutlah kita boleh merancang dan mengawal perbelanjaan ke arah yang lebih baik. Jika kita hanya ingat-ingat dalam kepala, maka kita sebagai pengarah sentiasa cenderung untuk berbelanja secara boros tidak bertempat!
Catatlah perbelanjaan kita walaupun sekecil-kecil perbelanjaan seperti membeli gula-gula 30 sen. Kerana dari situ ia akan melatih sikap untuk berdisiplin dalam mengurus kewangan.
Jadi apabila kita beridisplin menguruskan perbelanjaan kecil maka tiada masalah untuk kita menguruskan angka-angka besar.
Cikgu Idris, Pengetua Akademi Usahawan
Sekarang, apabila saya membeli gula-gula 30 sen pun mesti mengambil dan simpan resit! Saya nasihatkan agar anda mulakanlah audit kewangan syarikat sekarang walaupun syarikat anda masih lagi kecil agar anda tidak menghadapi sebarang masalah apabila syarikat telah besar.

#5 – Jangan Kecilkan Skop Rakan Kongsi

Saya bersyukur kerana telah dikurniakan rakan kongsi yang tepat untuk syarikat Flarebiz Network Sdn. Bhd. dan beberapa perniagaan saya yang lain. Rakan kongsi yang baik dan tepat menjanjikan kelangsungan bisnes yang berterusan.
Di saat kita ingin memulakan sesuatu perniagaan, kita cukup teruja untuk mempunyai rakan kongsi di dalam bisnes. Kita berpendapat apabila mempunyai rakan kongsi, semuanya boleh dikongsi bersama terutamanya dari segi permasalahan syarikat. Tetapi tanpa ilmu dan pengalaman yang secukupnya, memiliki rakan kongsi sentiasa membawa kepada permasalahan.
Terdapat banyak idealogi dan pendapat orang bisnes terhadap rakan kongsi. Salah satunya, orang bisnes berpendapat rakan kongsi perlulah saling melengkapi di antara satu sama lain.
Sebagai contoh, jika kita merupakan orang yang menghasilkan produk, maka kita mencari rakan kongsi di bahagian pemasaran. Jika kita merupakan pengusaha, maka cari rakan kongsi yang boleh menjadi pemodal. Maka itu telah melengkapi di antara satu sama lain untuk pergi lebih jauh.
Jangan sempitkan maksud rakan kongsi di dalam keusahawanan via Google Images.
Jangan sempitkan maksud rakan kongsi di dalam keusahawanan via Google Images.
Saya sangat bersetuju dengan pendapat tersebut. Tetapi ada perkara yang lebih penting dalam mencari rakan kongsi ialah mengenai sikap. Kita perlu mencari rakan kongsi yang mempunyai sikap yang positif dan bagus untuk perkembangan syarikat kita. Bagi saya kemahiran boleh dilatih tetapi sikap amat sukar untuk dibentuk.
Apa gunanya mempunyai rakan kongsi yang sangat mahir di dalam sesuatu bidang tetapi mempunyai sikap yang terlalu pentingkan diri sendiri, tidak boleh menerima pendapat orang lain, tidak amanah dan sebagainya.
Usahawan yang mempunyai pemikiran kelas dunia tidak akan melakukan semua perkara sendiri. Mereka akan bekerjasama dengan orang lain untuk merealisasikan misi dan visi yang telah ditetapkan.
Haji Mahyudin, Mantan Pengarah Sumber Manusia Kimberly-Clark
Ketika saya belajar mengenai ‘world-class leadership best practice‘ di SME@University, barulah saya nampak kepelbagaian kerjasama yang boleh dibentuk di dalam perniagaan.
Sebagai contoh, apabila kita menghasilkan kek sendiri, kita boleh lantik syarikat lain untuk menjadi pengedar bagi kek kita. Itu juga boleh dikategorikan sebagai rakan kongsi. Kita boleh mengupah syarikat lain untuk buat pembungkusan kek kita, itu juga boleh dikategorikan sebagai rakan kongsi.

#6 – Setiap Perkara Mesti Ada Hitam & Putih

Setiap perbincangan, perjanjian atau persetujuan yang termenterai di dalam perniagaan perlulah disertakan secara bertulis. Jadikan catatan bertulis sebagai satu amalan kerana jika kita hanya bergantung kepada persetujuan lisan akan menimbulkan banyak masalah pada masa akan datang.
Walaupun rakan baik anda sendiri sebagai rakan kongsi perniagaan, semuanya tetap perlu dilakukan secara bertulis, ada hitam dan putihnya. Semua perkara perlu dibincangkan dari awal agar tiada perkara berbangkit dikemudian hari, ketika perniagaan yang kita usahakan sudah berjalan dengan baik.
Jangan hanya berbincang perkara yang seronok sahaja dengan rakan bisnes, andaikan juga perkara yang tidak seronok akan berlaku. Bincangkan berapakah keuntungan yang setiap dari anda bakal perolehi, berapa pula nilai dari segi ekuiti di dalam syarikat, bagaimana jika projek ini tidak mencapai keuntungan bagi tempoh yang ditetapkan, bagaimana jika salah seorang ingin menarik diri dan sebagainya.
Semua perbincangan, perjanjian dan persetujuan perlulah disertakan dengan bukti bertulis via Google Images.
Semua perbincangan & perjanjian disertakan dengan bukti bertulis via Google Images.
Sebagai rakan kongsi, semuanya perlu dibincangkan secara terbuka dengan mengetepikan status peribadi seperti seorang kawan atau ahli keluarga. Orang Melayu sangat sopan santun tidak mahu berdiskusi banyak perkara secara terbuka kerana risau bakal rakan kongsi terasa hati. Tetapi apabila terjadinya masalah di hari kemudian, semua sopan santun tersebut biasanya hilang entah ke mana.
Jadi, walaupun anda mengenali rakan bisnes anda dengan baik sebelum ini,  apabila melibatkan soal perniagaan, semuanya perlu dibincangkan serta catatkan segala perbincangan di dalam bentuk bertulis untuk rujukkan kedua belah pihak. Percayalah, ini adalah untuk kebaikkan bersama.
Bukan itu sahaja, perlantikkan pekerja, perlantikkan agen dan apa sahaja yang berkaitan perniagaan dan syarikat perlulah dilakukan di dalam bentuk yang bertulis. Berapa banyak berlaku perselisihan faham di antara ahli syarikat sama ada rakan kongsi, pekerja dan sebagainya akibat tiada hitam dan putih sebagai rujukkan.
Saya pernah melalui situasi hendak memberhentikan pekerja tetapi bagaimana hendak memberhentikan pekerja andaikata surat perlantikkan pun kita tidak pernah keluarkan?

#7 – Pekerja Adalah Aset Bernilai

Saya cukup tidak senang apabila ada pihak yang cuba melaga-lagakan di antara majikan dengan pekerja dengan pelbagai frasa yang kurang enak untuk didengar.
Antara frasa keras yang kita selalu dengar, “sampai bila kau hendak kerja mengkayakan bos kau?“, “belum penatkah menjadi hamba kepada bos anda?“, “belajar tinggi-tinggi, akhirnya makan gaji dengan orang yang ada SPM jer?” dan sebagainya.
Your employees are your best asset. Happy employees make for happy customers.
Richard Branson, Chairman Virgin Group
Hakikatnya, majikan dan pekerja saling memerlukan. Tanpa pekerja, siapalah majikkan dan begitulah sebaliknya. Jadi mengapa kita hendak mendabik dada?
Pada era sekarang, semua majikan perlu sedar bahawa pekerja adalah aset mereka yang sangat bernilai. Malah tidak keterlaluan untuk kita menganggap pekerja kita sebagai rakan kongsi kerana merekalah yang menggerakkan syarikat kita. Saya sendiri sentiasa meletakkan diri saya sebagai pekerja, apa yang saya tidak suka diperlakukan oleh majikkan, maka saya tidak akan lakukannya kepada pekerja saya.
Gambar kenangan ketika bersama pasukan Yosh.my via Adly Flarebiz FB Page.
Gambar kenangan ketika bersama pasukan Yosh.my via Adly Flarebiz Facebook Page.
Saya juga percaya para pekerja juga wajar diberikan ganjaran dan pembangunan karier yang sewajarnya. Pekerja yang bagus dan berkelayakkan juga boleh diangkat menjadi rakan kongsi untuk perniagaan kita. Bagaimana kita melayan pekerja kita, begitulah mereka akan melayan kita.
Pekerja adalah aset yang perlu dibangunkan. Sebagai pemimpin yang mempunyai pemikiran kelas dunia kita ada dua tanggungjawab terhadap pekerja.
a. Kita wajib membantu mereka mencapai perestasi yang telah ditetapkan.
b. Kita wajib membantu membina karier mereka.
Ada sesetengah pekerja tidak akan selamanya bekerja dengan syarikat kita tetapi tanggungjawab di atas tetap perlu dilaksanakan.
Haji Mahyudin, Mantan Pengarah Sumber Manusia Nestle
Alhamdulillah, saya mempunyai rekod yang agak baik dengan semua pekerja saya setakat ini. Saya sentiasa menganggap mereka sebagai sebahagian keluarga saya dan walaupun kini sebahagian mereka tidak bekerja dengan saya lagi tetapi mereka sentiasa menghulurkan tangan apabila saya memerlukan bantuan.

#8 – Pemasaran Adalah Nadi Perniagaan

Saya adalah orang di dalam bidang pemasaran. Jadi saya berpendapat bahawa pemasaran adalah nadi perniagaan yang perlu diberikan perhatian serius oleh pemilik bisnes. Bagi saya pemasaranlah yang akan menentukan kejayaan syarikat anda dalam jangka masa pendek. Perkara-perkara lain seperti penjenamaan, pembahagian pasaran, kualiti produk dan sebagainya itu adalah faktor yang menentukan kejayaan untuk tempoh jangka panjang.
Oleh itu, anda perlu memiliki ilmu pemasaran yang secukupnya untuk mengemudi perniagaan dan syarikat anda pergi lebih jauh. Apa yang saya lihat syarikat Melayu terlalu takut untuk mengeluarkan bajet pengiklanan. Jika disebut RM20,000 atau RM100,000 sebulan untuk pemasaran dirasakan sangat tidak masuk akal!
Tetapi kalau beli kereta mewah berharga RM500,000 menggunakan duit syarikat, masuk akal pula! Tiada cara lain untuk kita bersaing di dalam pasaran terbuka sekarang melainkan dengan mengukuhkan cara dan teknik kita melakukan pemasaran. Oleh itu, anda perlu sentiasa belajar ilmu dan teknik pemasaran yang terkini agar dapat diadaptasi dalam menggerakkan perniagaan anda.
Walaupun anda memiliki produk yang paling bagus tetapi jika anda gagal untuk menjualnya, maka anda tetap orang yang gagal.
Donald Trump, Billionaire Amerika
Semakin besar bajet pemasaran kita, semakin besar capaian kempen kita kepada prospek. Secara tidak langsung, jualan dan penjenamaan perniagaan kita juga akan meningkat.
Walaupun syarikat dan perniagaan anda telah stabil dan mencatatkan jualan yang konsisten, jangan lupa untuk sentiasa wujudkan bajet pemasaran. Ini kerana bajet pemasaran seperti bajet pertahanan sesebuah negara. Walaupun sesuatu negara itu tidak berperang, mereka tetap perlu agihkan bajet pertahanan saban tahun untuk mengukuhkan pertahanan. Kadang-kadang kita melaburkan duit pemasaran hanya untuk mengukuhkan penjamaan kita di pasaran sahaja.
Nanti saya kongsikan pada entri akan datang bagaimana salah satu syarikat kecil yang saya berikan nasihat membelanjakan RM10,000-RM20,000 sebulan untuk pemasaran dan sekali gus meningkatkan jenama syarikat tersebut dengan cepat di dalam industrinya. Jualan pula mencecah 7 angka setahun.

#9 – Perlu Ada Mentor Perniagaan

Gambar kenangan ketika saya menuntut ilmu mengenai kepimpinan syarikat bersama Tuan Haji Mahyuddin.
Ketika menuntut ilmu mengenai kepimpinan syarikat bersama mentor, Tuan Haji Mahyudin.
Bagi saya sudah menjadi satu kewajipan untuk kita memiliki mentor atau penasihat bagi perniagaan kita. Dengan adanya mentor atau penasihat maka kita akan dapat menjana banyak idea untuk mengembangkan perniagaan yang kita usahakan ke tahap yang lebih baik dan kita juga dapat mengelakkan daripada melakukan kesilapan-kesilapan mudah.
Apabila saya ditimpa sebarang masalah sama ada dari segi model bisnes, pekerja, pemasaran dan apa sahaja aspek di dalam perniagaan, saya ada individu yang digelar mentor untuk saya ajukan permasalahan.
Oleh itu, carilah mentor yang bersesuaian dengan perniagaan yang anda ingin usahakan. Mentor tidak akan sesekali menyelesaikan masalah bagi pihak kita, sebaliknya mereka akan menunjukkan jalan kepada kita bagaimana hendak menyelesaikan masalah tersebut.
Setiap mentor mempunyai prinsip dan mazhab bisnes yang tersendiri. Oleh itu, jangan terikat dengan seorang mentor sahaja. Cari pelbagai mentor agar persepsi anda terhadap sesuatu perkara dan permasalahan lebih terbuka. Saya sendiri mempunyai beberapa orang mentor dan penasihat untuk perniagaan saya.
Kebanyakkan mereka adalah mentor yang tidak dikenali ramai tetapi nasihat mereka tersangatlah berharga seperti mutiara yang mahal harganya.

#10 – Perlukan Modal Yang Mencukupi Untuk Mengubah Dunia

Bagi mereka yang baru ingin memulakan perniagaan sendiri, saya sarankan agar mencuba model perniagaan yang lebih mudah untuk menghasilkan duit. Elakkan mencuba model perniagaan yang terlalu sukar atau menelan kos yang tinggi untuk direalisasikan.
Sebagai contoh model bisnes yang lebih mudah ialah anda mengambil baju kurung dari Vietnam dan menjual kembali di pasaran tempatan, anda menghasilkan produk digital dan menjualnya di pasaran internet, anda mengambil kasut daripada Brazil dan menjualnya melalui internet dan 1001 jenis perniagaan lagi.
Model bisnes sebegini lebih mudah kerana anda akan mendapat aliran wang tunai yang cepat. Berbeza dengan model bisnes yang bersifat inovatif atau millennium yang sedikit sukar. Apabila kita menghasilkan sesuatu produk, maka kita tidak terus menjana pendapatan daripada produk tersebut tetapi kita akan menjana pendapatan daripada perkara-perkara lain yang menjadi sampingan.
Contohnya bagaimana model bisnes Facebook? Facebook merupakan platform yang diberikan secara percuma kepada pengguna yang ingin bersosial di alam maya. Jadi bagaimana Facebook buat duit? Facebook akan buat duit melalui pengikalanan yang mereka perkenalkan. Tetapi sebelum memperkenalkan pengikalanan, mereka perlu menghidupkan platform percuma mereka terlebih dahulu.
Proses untuk menghidupkan platform tersebut menelan masa, kos dan komitmen yang sangat tinggi. Ini saya gelarkan model bisnes yang ingin mengubah dunia. Ia bersifat keuntungan jangka masa panjang. Rata-rata orang muda seperti saya lebih berminat model bisnes seperti ini tetapi tidak semua mampu untuk merealisasikan model bisnes ini kerana tiada modal yang mencukupi.
Salah satu projek mengubah dunia yang saya ketuai via Adly Flarebiz Facebook Page.
Salah satu projek mengubah dunia yang saya ketuai via Adly Flarebiz Facebook Page.
Sebagai contoh syarikat saya ada membangunkan platform perniagaan online berasaskan dropship iaitu Yosh.my. Sejak dua tahun lepas kami berbelanja sekitar RM20,000 setiap bulan untuk mengekalkan sistem tersebut. Tetapi Yosh.my masih belum memberikan pulangan yang menguntungkan kepada kami.
Malah dua bulan lepas kami telah membuat keputusan untuk melakukan sedikit perubahan dan sistem Yosh.my terpaksa ditutup pendaftarannya seketika. Di dalam proses melakukan perubahan ini, Yosh.my menelan belanja RM51,781.15 pada bulan Oktober 2013 dan RM19,071.86 pada bulan November 2013.
Jumlah terkumpul untuk dua bulan terakhir sahaja mencecahRM70,853.01 dengan keadaan Yosh.my memberikan pulangan sebanyak RM0.00 kepada saya!
Model bisnes sebegini sememangnya mencabar kerana saya menggunakan 100% wang peribadi. Tetapi jika anda menggunakan wang pemodal rasanya lebih mudah untuk merealisasikan model bisnes sebegini. Pokoknya, modal mesti cukup. Jika tiada modal secukupnya, jangan cuba-cuba dengan model bisnes ini!

#11 – Kejayaan Tidak Datang Dengan Cepat

Sejak kebelakangan ini ramai sekali mereka yang ingin berjaya dengan cepat di dalam perniagaan. Apabila mereka memulakan perniagaan hari ini maka mereka ingin mengecapi kejayaan yang besar dalam masa 3 bulan atau 6 bulan akan datang.
Mungkin kita terlalu banyak membaca kisah kejayaan orang lain di dalam perniagaan yang mana semuanya menceritakan bagaimana kejayaan mereka di dalam satu malam. Sedangkan orang berjaya tersebut tidak bercerita pula selama mana mereka perlu berusaha dan berusah-payah sebelum berjaya.
Kejayaan akan sentiasa bersama dengan orang yang berusaha via Google Images.
Kejayaan akan sentiasa bersama dengan orang yang berusaha via Google Images.
Saya teringat kata-kata Dato Hishamuddin di dalam satu ceramah keusahawanan beliau.
Saya tidak faham kenapa anak muda sekarang apabila berniaga hendak cepat kaya. Sedangkan Karangkraf mengambil masa puluhan tahun untuk mencapai tahap sekarang!
Dato Hishamuddin, Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf
Jadi usahlah terlalu cepat ingin berjaya di dalam perniagaan khususnya kepada orang muda. Dek kerana nak cepat kaya ini juga banyak orang kita terjebak dengan skim-skim dan pelaburan yang tidak sepatutnya.
Letaklah sasaran yang realistik untuk dicapai. Tanya kepada diri sendiri, dimanakah tahap perniagaan anda setahun akan datang, tiga tahun akan datang, lima tahun akan datang dan seterusnya. Insyallah kerjayaan sentiasa mendampingi mereka yang berusaha.

Rumusan

11 perkara yang saya nukilkan ini adalah berdasarkan pengalaman peribadi saya menempuhi dunia perniagaan selama 6-7 tahun sehingga sekarang. Saya percaya dengan perkongsian sebegini akan dapat memberi semangat dan tauladan buat mereka yang baru memulakan langkah di dalam dunia perniagaan.
Pun begitu, pendapat dan pengalaman saya tidak semestinya praktikal untuk semua situasi perniagaan. Oleh itu, mana-mana yang baik dari artikel ini anda boleh jadikan tauladan dan yang tidak baik itu anda boleh jadikan sebagai sempadan.
Akhir kata, jangan lupa untuk kongsikan entri ini dengan sahabat andai anda agar mereka juga dapat mempelajari sedikit sebanyak pengalaman perniagaan yang mungkin berguna suatu hari nanti.
artikel ini dipetik dari http://adlymukhtar.com/blog/11-perkara-yang-anda-perlu-tahu-sebelum-memulakan-bisnes-sendiri.html
Terima Kasih Kepada penulis...banyak info dapat digunakan bersama..