Sunday, June 17, 2012

Peristiwa Israk dan Mikraj

ADA APA DENGAN 27 REJAB?

Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan satu peristiwa yang penting dalam sejarah umat Islam. Begitu besar kesannya dalam kehidupan peribadi Rasulullah s.a.w. ketika Baginda menghadapi tahun kesedihan dengan kewafatan khadijah r.ha dan seterusnya disusuli dengan lontaran kejam batu batu oleh penduduk taif, lalu Allah s.w.t telah menjemput Rasulullah s.a.w melawat 7 lapisan langit untuk hadir ke hadratNya.

“Maha suci Allah yang menjalankan hambanya (Muhammad) pada malam hari dari masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (palestin), yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”                                                                                                                                      (Al-Israa' :1)
BURAQ : KENDERAAN SYURGA
Pada malam tersebut,Malaikat Jibril membawa Muhammad s.a.w yang sedang tidur di kaabah. Kenderaan yang digunakan ialah  Buraq dari Masjidil Haram ke Masjid Al Aqsa di palestin.

PERSIDANGAN PARA RASUL DAN NABI
Di masjid al aqsa, sedang berlaku perhimpunan yang sangat luar biasa. Allah s.w.t  menghidupkan para Rasul dan para Nabi untuk bertemu dengan Muhammad. Ulama menyebut jumlah para rasul 315 orang dan jumlah para nabi seramai 24,000 orang. Allah s.w.t mengumpulkan bilangan yang begitu besar ini untuk bertemu dengan Muhammad s.a.w. Bagaimana kita hendak bayangkan Muhammad s.a.w mengimamkan sembahyang para rasul dan nabi. Ini lah dia Persidangan para rasul dan nabi. Inilah kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w. sembahyang dan persidangan yang tidak berulang lagi buat kali kedua di bumi.

SUSU DAN ARAK
Selepas solat, Jibril dating membawa satu bekas susu dan satu bekas arak kepada Muhammad s.a.w. Muhammad s.a.w memilih susu. Jibril berkata: “kamu terpimpin kerana memilih susu, wahai Muhammad. Begitu juga umat kamu.” Ini menunjukkan arak itu perkara yang tidak baik. Selepas itu baru ianya diharamkan. Allah s.w.t menjaga Rasulnya. Beliau tidak pernah minum arak semenjak kecil lagi.


MUHAMMAD S.A.W DIANGKAT KE LANGIT
Kemudian Muhammad s.a.w dimikrajkan iaitu diangkat ke langit. Inilah kuasa Allah s.w.t yang tidak ada batasnya. Muhammad s.a.w dibawa dalam perjalanan yang begitu jauh dalam masa yang terlalu singkat. Allah s.w.t mahu mengajar hambanya. Kalau Allah s.w.t mahu, Allah s.w.t boleh buat perkara yang di luar jangkauan akal dan kekuatan manusia.

LANGIT PERTAMA:  Muhammad s.a.w melihat pelbagai pekara yanag ajaib:
·         Muhammad s.a.w melihat seorang lelaki yang tingginya 60 kaki. Apabila lelaki ini berpaling ke kanan dia tersenyum dan apabila berpaling ke kiri dia menangis. Muhammad s.a.w bertanya kepada jibril “siapa ini?”. Jibril Menjawab: Itulah Nabi Adam. Apabila dia melihat ke kanan dia melihat kepada umatnya yang masuk syurga maka tersenyum dia. Apabila dia memandang kiri, dia melihat umatnya masuk ke neraka, maka dia menangis”
·         Muhammad s.a.w melihat ada orang yang berenang dalam lautan darah. Apabila mereka sampai ke tepi, mereka mengagakan mulut mereka lalu para malaikat melontarkan api-api neraka ke dalam mulut mereka. Muhammad s.a.w bertanya: siapa mereka ini?. Jibril menjawab: mereka ini lah memakan harta anak yatim. Mereka diseksa disini dahulu sebelum diseksa di akhirat selepas kiamat nanti“
·         Muhammad s.a.w melihat orang lelaki yang perutnya besar. Mereka semua terlentang kemudian kaum firaun lalu disitu sambil memijak perut orang-orang tadi. Kaum firaun di bawa melihat neraka 2 kali sehari supaya mereka dapat melihat tempat mereka nanti. Muhammad bertanya, siapa mereka itu? Jibril menjawab: mereka adalah orang yang makan riba. Diazab di alam barzakh begitu sebelum diazab di neraka.“
·         Kemudian, Muhammad s.a.w melalui sekumpulan lelaki yang mempunyai 2 jenis makanan. Satu yang lazat berkrim disukai ramai dan bersih. Satu lagi makanan yang busuk serta jijik. Tetapi mereka makan yang busuk dan dijik. Muhammad s.a.w bertanya, siapa mereka wahai jibril? Jibril menjawab: mereka inilah orang yang berzina. Mereka ada yang halal tetapi tetap mencari yang haram walaupun mereka tahu akibatnya macam-macam penyakit di dunia dan azab di akhirat“.

LANGIT KE-2
Muhammad s.a.w bertemu nabi Isa a.s dan Nabi Yahya a.s

LANGIT KE-3
Muhammad s.a.w bertemu nabi Yusuf a.s

LANGIT KE-4
Muhammad s.a.w bertemu nabi Idris a.s

LANGIT KE-5
Bertemu dengan nabi Harun a.s yang dikelilingi oleh kaumnya bani Israil.
LANGIT KE-6

Muhammad s.aw bertemu dengan nabi Musa a.s. Muhammad s.a.w mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

LANGIT KE-7

Muhammad s.a.w melihat Baitul Makmur, kaabah bagi penduduk langit, tempat para malaikat tawaf dan beribadah. Kedudukan Baitul Makmur ini bertepatan dengan kedudukan kaabah di bumi. Di situ Muhammad s.a.w melihat ada seorang lelaki yang sedang bersandar ke Baitul Makmur. Rupanya seakan-akan sama rupa Baginda. Muhammad s.a.w bertanya, Wahai Jibril, siapa ini?. Jibril menjawab: itulah bapa kamu, Ibrahim.

SOLAT 5 WAKTU

Akhirnya Muhammad s.a.w sampai ketempat yang tidak pernah sorang manusia pun sampai ke situ walaupun dia seorang rasul dan nabi iaitu di Sidratul Muntaha. Tempat yang sangat luar biasa dan dalam pertemuan yang sangat luar biasa. Allah s.w.t memerintahkan solat kepada Muhammad s.a.w dan umatnya. Semua undang-undang Islam Allah s.w.t perintahkan melalui jibril, tetapi perintah solat diterima sendiri oleh Muhammad s.a.w  terus daripada Allah s.w.t. Ini menunjukkan betapa besarnya solat disisi Allah. Solat menjadi tiang kepada agama Islam. Allah s.w.t memerintahkan 50 fardu solat sehari semalam. Kemudia Muhammad s.a.w turun dan bertemu dengan Musa. Musa menyarankan Muhammad s.a.w bertemu dengan Allah s.w.t untuk meringankan jumlah solat. Kerana belas kasihan dan kasih pada umatnya, Muhammad s.a.w meminta Allah s.w.t  meringankan sehinggalah menjadi 5 waktu sehari semalam. Walaupun 5 kali perlaksanaannya, tetapi Allah s.w.t tetap memberi pahala menyamai 50 kali.

RENUNGAN BERSAMA

Terdapat banyak pekara yang tidak tercapai oleh akal dari peristiwa isra dan mikraj ini tetapi orang pertama yang mengakui pekara ini adalah sahabatnya, Abu Bakar as siddiq. Ramai umat Islam yang murtad ketika itu kerana tidak percaya apa yang disampaikan dan ramai yang berpegang teguh pada Agama Islam disebabkan peristiwa isra dan mikraj ini. Allah s.w.t ingin menguji hambaNya. Moga peristiwa israk Mikraj ini bukan sahaja untuk menyedapkan telinga yang mendengarnya saban tahun, tetapi ia menjadi satu manhaj aqidah yang jelas dan tegas bagi melayakkan kita untuk bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w di akhirat kelak.
Buat sahabat-sahabat yang dikasihi, marilah kita calonkan diri kita untuk menjadi orang yang layak mendapat kesaksian Rasulullah s.a.w tehadap keimanan kita. Adakah bukti ini belum mencukupi untuk kita? Renung-renungkan dan selamat beramal.

SUMBER RUJUKAN:
Biografi Muhammad Bin Abdullah: Perjalanan Hidup Seorang Nabi. Penulis: Prof. Dr. Dato‘ Zulkifli Haji Mohd Yusof dan Dr. Noor Naemah Abd Rahman. Terbitan PTS Islamika.

No comments:

Post a Comment